Halaman

13 September 2012

Senarai hitam kontraktor gagal siap projek-MB

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri bertegas untuk tidak menyerahkan sebarang projek kepada kontraktor yang ‘di senarai hitam’ berikutan kegagalan projek masa lalu.


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berucap dimajlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Terengganu

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan mempunyai perancangan pembangunan yang berjadual dan tidak akan menyerahkan projek kepada mereka yang telah terbukti gagal menyiapkan kerja yang diberikan sebelum ini.



“Kalau mereka gagal menyiapkan projek hingga menimbulkan kerugian kepada kerajaan kita terpaksa ‘blacklist’ , biarpun kepada kontraktor Bumiputera, “ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-36 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Terengganu di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden PKMM Dato’ Mohd Rosdi Abdul Aziz dan Pengerusi PKMM Terengganu, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri.

Menteri Besar berkata, beliau amat maklum semua kontraktor ingin membuat keuntungan ke atas projek yang dilaksanakan tetapi perlu diingat kerajaan juga memerlukan kontraktor yang berwibawa dan bertanggung jawab ke atas kerja yang dilakukan.



“Kita memang nak tolong orang Melayu, tetapi kalau mereka buat kerja sambil lewa termasuk projek yang mesti siap dua tahun, empat tahun pun tak siap lagi macam mana nak beri projek baru,” katanya.

Menteri Besar berkata, untuk projek kerajaan akan datang, pihaknya bercadang untuk menentukan siapa berjaya melalui cara undian agar perkara pembahagian projek itu adil.

Beliau juga mengharapkan setiap projek perlu dipantau sepanjang masa oleh pihak kerajaan agar tidak berlaku penipuan dari segi penggunaan bahan dan sebagainya.