Halaman

08 February 2013

Terengganu miliki padang bola sepak sintetik bernilai RM1.1 juta

Oleh: Noraini Jusoh

Padang bola sepak sintetik atau padang rumput tiruan bernilai RM1.1 juta telahpun siap dibina di Kampung Tok Jiring sekaligus menjadikan Terengganu negeri pertama memilikinya.
Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, projek padang bola sintetik merupakan model baru bagi pembangunan infrastruktur bola sepak negara.

Katanya, dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), kerajaan telah memperuntukkan RM50 juta bagi membina dua padang bola sepak sintetik di setiap negeri.

"Kampung Tok Jiring dipilih sebagai lokasi pertama di Terengganu untuk membina padang bola sintetik dan antara projek peringkat awal.

"Sekiranya berjaya, secara berperingkat semua padang sekolah dan awam di negara ini akan diganti dengan padang sintetik,” ujarnya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat padang bola sepak sintetik di Kampung Tok Jiring, baru-baru ini.

Katanya, padang bola sepak sintetik dalam Parlimen Kuala Nerus itu juga telah menepati piawaian minimum Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Berbanding padang rumput biasa dimana kos pembinaannya sekitar RM500,000 kos untuk membina padang bola sepak tiruan agak mahal iaitu antara RM1.1 dan RM1.7 juta setiap satu.

"Walau bagaimanapun, proses penyelenggaraannya tidak memerlukan kos tambahan dan lebih menjimatkan sehingga mampu bertahan sehingga lapan hingga 10 tahun,” ujarnya.

 Menurut beliau, padang bola sepak sintetik juga menggunakan teknologi tinggi dimana sistem perparitan telah dibina dibawah padang tersebut yang dapat mengalirkan air sekiranya hujan.