Halaman

30 July 2013

WALK FOR BN- LELAKI INI PERNAH BERJALAN 380 KM...

"Saya pernah berjalan sejauh 380 kilometer dalam empat hari dari Kemaman ke Besut pada 2008 ," demikian akui Mohd.Nor Mat, 48 tahun, anak kelahiran Besut Terengganu.
 Oleh itu, katanya inilah perjalanan yang paling jauh(Kuala Besut-Kuala Lumpur/Putrajaya) yang akan beliau cuba lakukan, demi menunaikan nazarnya berikutan Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihanraya Kecil Dun Kuala Besut, 24 Julai lalu.
Mohd. Nor seorang pekerja rendah am atau ringkasnya Pra, di Yayasan Islam Terengganu cawangan Besut, akan menunaikan impiannya berjalan kaki sejauh lebih 600 kilometer dari Kuala Besut ke Kuala Lumpur atau Putrajaya.
  Semangat kental dan kecintaan terhadap BN yang menebal menyebabkan Mohd Noor, sanggup berjalan kaki dan akan meneruskan niatnya itu hingga tercapai bagi membuktikan beliau bukan bercakap kosong.
 Ia bertambah hampir menjadi realiti, apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said selaku Pengerusi BN Negeri telah memberi komitmen menyokong dan akan bantu menjayakan apa yang dinamakan sebagai ‘Walk For BN” itu. Bapa kepada tujuh anak berusia antara 4 dan 22 tahun itu akan memulakan perjalanan dari Dataran Kuala Besut ke Kuala Lumpur pada tarikh yang akan ditetapkan, mungkin pada September ini. "Saya akan cuba mengambil masa selama 12 hari bagi menamatkan perjalanan melalui Kuala Besut ke Kuantan dan Kuala Lumpur" katanya. Mohd Noor berkata demikian ketika ditemui semalam selepas menemui Menteri Besar, di Tingkat 16, Wisma Darul Iman.
 Katanya, niat berjalan kaki itu sebelum ini dilafaz pada hari penamaan calon 12 Julai lalu di depan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh.
 “Dan hari ini saya gembira, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said pula memberi perhatian dan persetujuan untuk membantu menjayakan hasrat saya ini, malah terus menghubungi pejabat Perdana Menteri untuk memaklumkan perkara ini dan mendapatkan tarikh yang sesuai,” katanya.
  Dato’ Seri Haji Ahmad akan cuba menunaikan hasrat Mohd Noor untuk bertemu Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sendiri sekaligus menyambut kehadiran Mohd Noor di garisan penamat Walk For BN itu di Kuala Lumpur dan dicatatkan dalam Malaysia Book Of Record.
  Pada masa ini Mohd.Nor sudahpun memulakan latihan dengan tumpuan di kawasan pantai.
 Sebelum ini, beliau banyak menyertai pertandingan berjalan kaki dan menyasar untuk melakukan perjalanan antara 60 hingga 70 kilometer sehari. Mohd Noor juga akan membawa lencana dan lambang parti sepanjang perjalanannya ke destinasi selain mengedar beberapa risalah berkaitan daerah Besut dan negeri Terengganu untuk tujuan pelancongan kepada orang ramai.

                                     Pengarang bersama Mat Nor selepas mewawancaranya