Halaman

18 December 2011

Terengganu kurangkan tajaan pelajar ke Mesir

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan Terengganu mengurangkan penghantaran pelajar tajaannya melanjutkan pengajian ke Mesir kerana berpendapat sistem pengajian di negara itu agak terkebelakang berbanding beberapa negara lain.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, keputusan itu dibuat berikutan rasa kecewa dan dukacita pihak Kerajaan negeri terhadap prestasi akademik dan masalah disiplin sebahagian pelajar Terengganu di negara berkenaan.

Katanya, faktor sistem pengajian di negara Timur Tengah itu yang agak ‘kucar-kacir’ menyebabkan ada sebahagian pelajar Terengganu yang kurang berdisiplin serta sibuk dengan persatuan dan agenda parti politik tertentu sehingga mengabaikan pembelajaran.

Mengatasi masalah itu katanya, Terengganu memilih beberapa universiti di Jordan dan Maghribi untuk tajaan pelajar dalam bidang Pengajian Islam seperti Syariah, Usuluddin, al-Quran, Perundangan Islam dan sebagainya.

“Saya sendiri pernah berjumpa dengan tiga naib canselor universiti terkemuka dari Jordan, mereka turut bersetuju sistem pendidikan di negara itu (Mesir) agak kucar-kacir dan tidak sistematik.

“Ada pelajar Terengganu habiskan masa sampai 20 tahun untuk tamatkan pengajian di Mesir. Ada juga lapan tahun. Kita rasa sudah sampai masanya Terengganu beralih arah demi masa depan pelajar,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Emas dan Hadiah Kecemerlangan Yayasan Terengganu (YT) kali ke-32 di Taman Tamadun Islam, di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB. Ahmad Razif Abd. Rahman dan Pemangku Pengarah YT, Zakaria Yusof.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, walaupun kos pengajian di Jordan lebih mahal berbanding Mesir, Yayasan Terengganu yang memberi tajaan kepada pelajar terbabit sedia menaikkan jumlah pinjaman sekiranya diperlukan.

“Namun, tajaan pelajar bidang perubatan ke negara itu masih diteruskan kerana kita mendapati sistem pembelajarannya kursus itu masih baik di samping kos pengajiannya yang rendah,” jelasnya.

Pada majlis itu, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau Petronas, Kemaman, Raja Akif Raja Zahiruddin diumumkan sebagai penerima Pingat Emas Yayasan Terengganu 2011 yang disampaikan Menteri Besar.

Anak jurutera Petronas Carigali itu memperolehi keputusan 10A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2010 dan membawa pulang wang tunai RM5,000, komputer riba serta sijil penghargaan.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama Bioteknologi dari Imperial College of Landon, United Kingdom, Mohd. Fridaus Samsudin menerima Anugerah Khas 2011 dan 44 lagi graduan menerima Anugerah Sarjana Terengganu 2011.