Halaman

12 September 2012

PM dijangka rasmi kompleks bioteknologi di Kerteh

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA

Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dijangka akan merasmikan majlis pecah tanah tapak pembinaan Kompleks Bioteknologi Arkema di Kerteh, Kemaman pada 6 Oktober depan.

“Kompleks yang bernilai RM2 bilion itu dibangunkan dengan kerjasama syarikat dari Perancis dan Korea,” kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said kepada pemberita di majlis sambutan Hari Raya Pesara-pesara Kerajaan di Wisma Darul Iman hari ini (12 September).

Menteri Besar bermesra dengan pesara kerajaan.

Hadir sama, Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Noorbahari Baharuddin; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A. Rahman Mokhtar; Ahli Jawatankuasa Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKKM) Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Pengerusi KUPKKM Terengganu Dato’ Haji Muhatar Abdullah.

Sebelum ini Perdana Menteri telah membuat pengumuman tentang pelaburan penting Perancis-Korea ini untuk pembangunan kilang bioteknologi yang menghasilkan L-methionine melalui fermentasi.


Kilang pertama seumpamanya di dunia itu penghasilan asid amino (untuk makanan haiwan ternakan) melalui bioteknologi bakal membolehkan Arkema anak syarikat Total untuk kimia, mengukuhkan kehadirannya di Malaysia (di mana ia telah mempunyai sebuah kilang, Cray Valley, yang menghasilkan resin di Johor Bahru) dan Asia (pusat-pusat pengeluaran di Singapura, Vietnam, China dan Jepun).

Pemilihan Malaysia (Terengganu) berbanding Thailand atau negara-negara lain di rantau ini adalah kerana insentif yang kompetitif yang ditawarkan oleh negara dan pengkhususan Pembangunan Koridor Wilayah Timur untuk petrokimia dan bahan kimia tulen.

Arkema merancang untuk membangunkan platform baru Asia untuk thio (kimia sebatian sulfur) pada masa akan datang.