Halaman

23 November 2012

Program masak bubur asyura perdana di DUN Kuala Besut


YB Dr A Rahman Mokhtar mengacau bubur asyura

Oleh: Mohammad Ishak 

Program memasak bubur asyura yang diadakan di pekan Kuala Besut berjaya menarik penyertaan penduduk setempat yang hadir memeriahkan acara berkenaan.

Sebanyak 18 kawah bubur asyura berjaya dimasak oleh peserta yang mewakili pelbagai lapisan penduduk di perkampungan nelayan itu.

Program anjuran Pejabat Penyelaras DUN Kuala Besut dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) di kawasan itu mengambil bahagian dalam gotong royong memasak asyura berkenaan.

Kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut bersama isterinya memeriahkan lagi suasana persekitaran di lokasi tempat memasak.

Dr A Rahman berkata, beliau bangga melihat semangat kerjasama penduduk yang mengambil bahagian dalam program itu dan menampakkan ciri-ciri perpaduan dan keharmonian penduduk negeri ini.

Beliau dan isteri kemudian turut bergotong royong mengacau bubur asyura sambil meninjau kerja yang dilakukan oleh peserta sejak awal pagi semalam.

“Program ini walaupun kelihatan penat tetapi peserta dengan penuh semangat menyiapkan kerja-kerja sejak awal pagi sehingga bubur asyura berjaya di masak pada tengahari,” katanya.