Halaman

17 December 2012

Kerajaan akan bina rumah untuk mangsa ombak di Kuala Besut


DR A Rahman Mokhtar melawat kawasan penempatan penghuni PPRT  dipulkul ombak besar kelmarin

Oleh: Mohammad Ishak 

Masalah kebimbangan penghuni di penempatan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pengkalan Atap,Kuala Besut,dijangka dapat diselesaikan apabila kerajaan negeri membina rumah kediaman untuk mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri,YB Dr A Rahman Mokhtar berkata, projek perumahan berharga RM10 juta di Kampung Lay Out Tok Saboh dalam DUN Kuala Besut itu kini dalalam proses tawaran harga kepada kontraktor.

Katanya, pembinaan rumah kediaman itu bagi menempatkan 46 keluarga di PPRT terbabit yang hidup dalam ketakutan kerana kawasan itu sering berlaku ombak besar terutama musim tengkujuh.

Dr A Rahman yang juga ADUN Kuala Besut berkata demikian ketika melawat kawasan penempatan PPRT terbabit yang dilanda ombak besar malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu ombak kuat memukul pantai menyebabkan banteng dan jalan di situ pecah dan rosak teruk tetapi penghuninya terselamat.

Berikutan itu, Dr A Rahman mengarahkan jabatan dan agensi terbabit segera mengambil tindakan dan membantu memulihkan keadaan di kawasan penempatan berkenaan.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut terpaksa menggunakan 10 lori untuk memunggah batu konkrik dan dijadikan banteng penghadang ombak bagi mengelak hakisan pantai terus merebak di situ.