Halaman

18 March 2013

Pendedahan Penyelewengan Kerajaan Lalu: TIADA DIKENAKAN BAYARAN RATUSAN/ RIBUAN RINGGIT UNTUK PESERTA TANAH RTB

Oleh: Pengarang Teganukita


Tiada sebarang bayaran yang patut dibayar oleh pemohon atau peserta yang memohon dan berjaya sebagai peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang diuruskan oleh Pentadbiran Tanah Daerah masing-masing atau Pejabat Tanah di daerah masing-masing.

Jika sekiranya ia dikenakan bayaran beratus-ratus ringgit atau ribuan ringgit oleh pihak tertentu bagi mendapatkan tanah RTB itu, ia adalah di luar arahan dan pengetahuan Pentadbir atau Pejabat Tanah Daerah.

Pihak Pejabat Tanah tidak tahu menahu perkara punggutan duit oleh pihak terbabit.

Demikian dijelaskan oleh seorang Pentadbir Tanah Daerah di Terengganu ketika diminta mengulas laporan polis yang yang dibuat oleh pemohon salah satu RTB di Balai Polis Ketengah Jaya pada 22 Februari lalu.

Menurut Salinan Repot KETENGAH JAYA/000172/13 pada 22 Februari 2013 jam 4.34 petang, pengadu Muhamad Rosdi bin Fauzi dari Felda Ketengah Jaya Dungun menyatakan: “Pada 11/02/2004 Kami Generasi Kedua Felda telah ditawarkan Tanah Rancangan Berkelompok di Kawasan Pembangunan Lima Bandar Ketengah Jaya, Mukim Rasau, Daeran Dungun oleh Kerajaan Terengganu pada waktu itu (1999-2004).

Pada 17/02/2004 satu majlis diadakan di Padang Astaka Ketengah Jaya,setiap peserta telah diminta bayaran maksimum sebanyak RM1, 300.00. Duit ini dibayar kepada akaun sebuah syarikat guaman yang dilantik sebelum 01 Mac 2004.

Jumlah peserta yang terlibat adalah seramai 1080 orang.

Kami telah dijanjikan akan memperolehi geran tanah tersebut. Pihak yang berkenaan telah menghilangkan diri tanpa mengembalikan semula duit kami.

Saya mewakili kesemua peserta menuntut kembali duit dari pihak yang telah menjanjikan tanah tersebut. Pihak kami juga mendesak supaya kes ini disiasat dengan kadar segera oleh pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Ini kerana kami rasa sangat tertipu oleh kepimpinan pada waktu itu. Inilah pengaduan saya”.

Menurut Pentadbir Tanah itu, bayaran syarat-syarat Lesen Menduduki Sementara ialah RM10 setahun sahaja dan bayaran pendaftaran atau buka fail hanyalah dikenakan RM5 (Seksyen 67 dan 68 Kanun Tanah Negara).

Katanya, apabila seseorang diluluskan permohonan, kelulusan LMS hanya diberi bagi tempoh tiga tahun sahaja sebagai tempoh percubaan. Pertimbangan kemudian akan diberikan sama ada hendak diberikan hak milik kekal atau pun tidak.

“Segala hal berkaitan pentadbiran tanah adalah mengikut Kanun Tanah Negara, jadi kalau di luar perkara berkaitan, ia adalah dibuat tanpa pengetahuan Pentadbir Tanah,” tegasnya.