Halaman

04 May 2013

Calon BN ikrar terus kesinambungan majukan Dungun

CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan berkata, beliau akan meneruskan kesinambungan perjuangan yang dibawakan bekas Ahli Parlimen terdahulu, Datuk Matulidi Jusoh sekiranya BN diberi mandat dalam pilihanraya nanti.

 Datuk Rosli berkata, kesinambungan itu adalah memperjuangkan hospital baru yang telah diluluskan dalam bajet lalu yang dianggarkan bernilai RM150 juta.

 “Tapak hospital baru itu telah diluluskan di kawasan pesimpangan Kampung Che Lijah dan saya berharap agar disegerakan kelulusan kerana ia membabitkan kepentingan semua penduduk,”katanya.

 Katanya, selain daripada Hospital baru itu, ideal mewujudkan sebuah mini pelabuhan di Kuala Dungun yang dibawakan Datuk Matulidi akan diteruskan termasuk memajukan sungai Dungun.

 “Kita berharap agar BN terus diberi mandat oleh rakyat di parlimen Dungun bagi kita meneruskan pembangunan Dungun yang hasil limpahannya dapat dinikmati oleh semua penduduk,”katanya.

Datuk Rosli berkata, sekiranya BN diberi kemenangan, beliau juga akan meneruskan perjuangannya yang terdahulu untuk mendapatkan sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kampung Batu Tiong.

“Tanah untuk MRSM itu telah dibayar premium dan kita juga berharap agar ianya dapat direalisasikan dan menambahkan lagi sebuah pusat penddikan selepas Politeknik dan Universiti Teknologi Mara (UiTM),”katanya.

Datuk Rosli menambah, bagi masyarakat berbangsa Tionghua, mereka juga tidak akan dipinggirkan dan kerajaan negeri telah bersetuju untuk mebina blok tambahan atau bangunan baru untuk Sekolah Kebangsaan (C) Kwang Hwa.

 “Saya meminta masyarakat Tionghua sekiranya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura memihak kepada BN, maka janji itu akan dapat direalisasikan,” katanya.

Katanya, selain itu, sebuah bangunan baru Majlis Perbandaran Dungun dijangkakan setinggi lapan tingkat telah dipersetujui Menteri Besar Datuk Seri Haji Ahmad Said akan dibina di kawasan itu.

 “Antara lain cadangan ialah membina sebuah pusat pejabat persekutuan yang mengumpulkan kesemua agensi kerajaan di situ bagi memberi kemudahan kepada penduduk untuk mendapatkan perkhidmatan,”katanya.

No comments: