Halaman

05 September 2013

Pandu Puteri rai 60 pelajar yatim sempena majlis hari raya

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 60 orang pelajar yatim dan miskin akan diraikan dalam Majlis Hari Raya Aidilfitri Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu (PPPCT) yang akan diadakan di Hotel Tabung Haji, Gong Badak, Kuala Terengganu esok (Jumaat).

Yang Dipertua PPPMCT, Tengku Datin Seri Ramlah Azizah Sultan Ismail berkata, pelajar yatim dan miskin ini didatangkan dari empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Setiu, Marang dan Hulu Terengganu.

“Mereka yang terpilih untuk menerima ‘duit raya’ ini merupakan anak yatim dan miskin dari kalangan ahli PPPMCT mewakili 15 buah sekolah rendah dan menengah,” katanya kepada Teganukita.

Menurutnya, program ini merupakan aktiviti tahunan PPPMCT dimana setiap tahun akan meraikan golongan sasar yang berlainan dan majlis juga diadakan mengikut giliran daerah.

Katanya, dalam program yang sama tahun lalu PPMCT telah meraikan 50 orang warga emas dari daerah Kemaman dan majlis diadakan di Awana Kijal.