Halaman

06 October 2012

30 Anggota TUDM Gong Kedak sertai gotong royong bersih kubur bersama penduduk



Oleh: Mohammad Ishak 

Cuti hujung minggu tidak pernah dipersiakan oleh anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pangkalan Gong Kedak, sebaliknya dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti berfaedah terutama khidmat komuniti bersama masyarakat.

Program gotong royong membersih tanah perkuburan Islam di Kampung Denger, dekat Jertih, oleh anggota pasukan itu bersama kampung sebahagian daripada khidmat komuniti hujung minggu yang kerap dijalankan oleh pasukan berkenaan.

Seramai 30 anggota yang tidak terbabit dengan tugas harian menyertai gotong membersih kubur berkenaan yang turut disertai Pegawai Memerintahnya, Kol Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Kol Mohd Asghar berkata, pihaknya sentiasa turun padang mendekati masyarakat dengan mengadakan pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan bertujuan merapatkan hubungan antara anggota dengan komuniti.

Katanya, menerusi khidmat sukarela itu juga ia dapat membantu pihak terbabit menjayakan sesuatu aktiviti di kampung masing-masing.

Menurutnya, hampir setiap minggu anggota TUDM berkenaan keluar ke kampung sekitar daerah Besut apabila ada pihak terutama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Masjid menjemput untuk mengadakan kerja gotong royong.

“Kerja gotong bersama penduduk selain dapat meningkatkan semangat kerjasama kedua belah pihak ia juga mampu melatih anggota dalam aktiviti amal,” katanya.

Beliau berkata, TUDM kini mengadakan pendekatan baru bagi mempastikan seluruh anggota turut terbabit dalam apa juga aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh penduduk sekitar daerah Besut.