Halaman

17 September 2013

Laporan polis berhubung pemalsuan akaun FB Menteri Besar

Oleh: Aida Abd Rahman

Pejabat Menteri Besar (MB) membuat laporan polis berhubung pemalsuan akaun Facebook (FB) menggunakan nama dan gambar Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat khususnya pengikut akaun media sosial itu sejak beberapa hari lalu.

Setiausaha Akhbar Kepada MB, Encik Rosli Zakaria, membuat laporan polis berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, kira-kira jam 10.15 pagi ini.


Encik Rosli berkata, pemalsuan akaun FB berkenaan lebih kepada tujuan penyamaran yang perlu ditangani dan disiasat segera oleh pihak berkuasa.

 “Perkara itu suatu yang tidak benar, perlu disasat dan diambil tindakan dengan setegas-tegasnya oleh pihak berkuasa.

 “Selain laporan polis kita juga akan maklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) supaya mengambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di IPPD Kuala Terengganu.

Encik Rosli berkata, tindakan penyamaran `FB baru’ itu didapati menggunakan URL berbeza berbanding FB yang asal dipercayai bertujuan mengelirukan rakyat.

Katanya, antara paparan status dalam akaun penyamaran itu adalah berhubung pengumuman cuti umum yang tidak sepatutnya diumumkan oleh sesiapa kecuali dikeluarkan secara rasmi oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu sahaja.

 “Apa akibatnya, sekiranya semua pengikut Dato’ Seri MB mengambil serius paparan itu dan tidak datang bekerja pada hari itu, malah akan melumpuhkan pentadbiran kerajaan.

“Setiap pengumuman berkaitan pentadbiran kerajaan perlu datang (dikeluarkan) secara rasmi oleh Pejabat SUK dan MB , bukan dikeluarkan oleh orang lain, tetapi ia disalahgunakan melalui `fan pages’, kerana kita tidak akan buat begitu, kecuali secara rasmi,” katanya.

Menurutnya, paparan mengenai cuti yang dikesan pada 15 September lalu selain beberapa perkara yang tidak disebut oleh MB tetapi dipaparkan secara meluas di FB berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada SKMM dalam tempoh terdekat untuk tindakan dan siasatan lanjut pihak berkenaan.



No comments: