Halaman

15 September 2013

SETIAUSAHA POLITIK MB MENANG TANPA BERTANDING PRESIDEN BOLA SEPAK TERENGGANU

Tahniah kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kemaman, Dato’ Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid=kerana dipilih sebulat suara sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang baru.
 Dengan pemilihan tersebut, maka tamatlah spekulasi siapa Presiden PBSNT yang baru kerana kini jawatan itu sah menjadi milik Presiden Dato’ Wan Ahmad Nizam. Dato’ Wan Ahmad Nizam adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said menang tanpa bertanding.
  Beliau dipilih menerajui persatuan tersebut bagi menggantikan Datuk Che Mat Jusoh yang telah menyandang jawatan itu selama lebih 14 tahun sebelum ini.
  Perkara tersebut diumumkan dalam Kongres Tahunan Luar Biasa PBSNT 2013 yang turut menyaksikan Naib Presiden PBSNT yang juga pengurus pasukan Terengganu, Marzuki Sulong dilantik sebagai Timbalan Presiden yang baharu menggantikan Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof yang meletakkan jawatannya pada 25 Jun lalu.
  Menurut Dato' Wan Ahmad Nizam menerusi ucapan yang diwakilkan kepada Marzuki, beliau berterima kasih kerana diberi kepercayaan untuk menduduki kerusi panas tersebut.
  “Saya akan berusaha sebaik mungkin dalam menjalankan tanggungjawab ini dengan bantuan dan sokongan daripada semua pihak. Pada masa yang sama, saya juga akan cuba menyelesaikan segala masalah yang berbangkit di samping merancang untuk menambah baik prestasi pasukan selepas ini,” katanya.
  Selain itu, kesemua nama yang dicalonkan juga menang tanpa bertanding termasuk termasuk lapan ahli jawatankuasa Eksekutif PBSNT.
  Bagi jawatan Timbalan Presiden 1 PBSNT, ia kekal menjadi milik Dato' Mazlan Ngah yang juga Setiausaha Kerajaan negeri manakala empat muka baharu pula dipilih sebagai Naib Presiden persatuan iaitu Ab. Rashid Jusoh, Abdullah Sulong, Tuan Kechil Tuan Tengah serta Saidi Salleh@Sulong.
  Jawatan AJK Eksekutif PBSNT turut menyaksikan empat muka baharu iaitu Mohd. Rashdi Hamat, Wan Mohd. Azlizan Abu Bakar, Mohd. Sekanther Abd. Hamid serta bekas Setiausaha Agung PBSNT, Abdullah Salleh.
 Sementara itu, empat muka lama yang mengekalkan jawatan tersebut ialah Ali Embong, Haslan Hashim, Zaki Ismail serta Wan Zaulkfli Wan Gati. Kongres tersebut dihadiri oleh 39 ahli eksekutif termasuk 24 ahli gabungan daripada persatuan bola sepak daerah di seluruh Terengganu.
  Bagaimanapun, Dato' Wan Ahmad Nizam tidak hadir kerana mempunyai tugasan di luar negara.
 Masyarakat, terutama peminat bola sepak Terengganu amat berharap dengan kepimpinan baru PBSNT itu, akan membawa kecemerlangan kepada sukan bola sepak di negeri ini.- Ruslan Abdul Rahman