Halaman

22 October 2013

Umno Marang mahu tarik sokongan rakyat pada BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Amirullah Othman
Gambar oleh Zulkipli Putra

YB A Latiff
Ketua Umno Bahagian Marang, YB. A. Latiff Awang beriltizam untuk memulihkan semula kekuatan Umno bahagian itu serta menarik sokongan penduduk tempatan terhadap parti itu dan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, beliau yang diberi tanggungjawab menerajui bahagian itu pada pemilihan baru-baru ini mengharapkan sokongan semua pihak, terutama sayap-sayap parti dan bekas pemimpin bahagian bagi merealisasikan hasrat untuk ‘menawan’ semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

Pada pemilihan itu, YB A Latiff yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dipilih sebagai ketua bahagian selepas mengalahkan tiga calon lain, termasuk penyandang jawatan, Dato’ Yahya Khatib Mohamad.

Beliau yakin dengan kerjasama jawatankuasa bahagian dan pemimpin sayap parti, usaha menyatukan pemimpin dan ahli Umno di bahagian berkenaan selepas ini menjadi lebih mudah.

 “Bila Umno bersatu semula, kita akan adakan program-program bagi menarik sokongan rakyat kepada Umno dan BN,” katanya kepada Teganukita hari ini ini.

YB A Latiff menyifatkan pemilihan beliau sebagai ketua bahagian satu amanah besar bukan saja daripada perwakilan bahagian itu, tetapi juga daripada pucuk pimpinan parti yang mahu melihat perubahan besar di Parlimen berkenaan.

 “Kepimpinan baru bahagian ini bertanggungjawab menarik sokongan rakyat kepada Umno dan BN, seterusnya memastikan pertambahan kerusi BN di Parlimen ini pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang lalu hanya DUN Pengkalan Berangan yang diwakili YB A Latiff sahaja dimenangi BN.

Beliau yang juga Pengerusi jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian dan Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat bertekad mengekalkan kerusi DUN Pengkalan Berangan dan mengembalikan tiga kerusi DUN lagi kepada BN pada PRU14.