Halaman

17 March 2011

Pelajar Terengganu hadir ceramah Dr M di Russia

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan


BUDI..."komuniti yang berikan kita peluang untuk belajar, kita patut balas balik budi komuniti"

Pelajar Terengganu yang sedang menuntut di Russia, turut menghadiri ceramah mengenai Wawasan 2020 yang disampaikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, di Kedutaan Besar Malaysia di Moscow, pada 12 Mac lalu.

Kira-kira 300 pelajar Malaysia mendengar ceramah itu yang turut dihadiri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali serta delegasi yang mengiringi Dr Mahathir ke Moscow atas jemputan Presiden Dmitri Medvedev dan Perdana Menteri Vladimir Putin dari 9 Mac hingga 12 Mac.

Sepanjang berada di Russia, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Presiden dan Perdana Menteri Russia dan turut disertai Presiden Republik Tatarstan, Mr. Rustam Minnikhanov dan turut mengadakan syarahan di Moscow State University of International Relations (MGIMO) yang bertajuk "Street Demonstrations and Protests-Tools for Regime Changes".

Bagi perjumpaan dengan pelajar Malaysia itu, KUMOSC menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas bagi memudahkan para pelajar tiba ke Kedutaan Malaysia dan juga untuk melancarkan lagi perjalanan program pada hari tersebut.

Perkhidmatan pengangkutan bas diadakan di lima lokaliti iaitu Spartiv, Kahov, Pushkin untuk M1, M2 dan MAI. Ini adalah hasil kesepakatan KUMOSC dan Kedutaan Malaysia untuk memberikan perkhidmatan tersebut.


KENANGAN...antara pelajar yang hadir dan bergambar bersama tokoh negara.

Pada akhir ceramahnya, Dr Mahathir sempat menyampaikan amanat beliau bagi pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di luar negara agar balik ke Malaysia setelah menamatkan pembelajaran dan berbakti kepada masyarakat kerana tanpa masyarakat siapalah kita.