Halaman

15 March 2013

10,000 peserta akan sertai Perarakan Patriotik di Besut


Peserta perarakan patriotik peringkat DUN Kota Putera semalam.

Oleh: Mohammad Ishak

Kira-kira 10,000 penduduk daerah Besut yang cintakan keamanan dijangka menyertai perarakan patriotik secara berjalan kaki sejauh 13 kilometer bermula dari Dataran Jertih Souq ke pusat pentadbiran daerah di Kampung Raja,

Program bertujuan membangkitkan semangat patriotik dan sebagai tanda sokongan kepada pejuang negara yang berhadapan dengan pengganas di Lahad Datu, Sabah, akan diadakan pada 20 Mac jam 5 petang.

Pemuda Umno Bahagian Besut selaku penganjur program berkenaan berharap penduduk daerah itu akan sama-sama memberi sokongan dan menyertai perarakan yang julung kali diadakan bagi memberi sokongan kepada pasukan keselamatan negara.

Ketuanya, Mahadi Musa berkata, perarakan yang diketuai Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih akan disertai oleh semua wakil rakyat Besut.

Katanya, selain itu perarakan juga akan disertai oleh pelbagai pertubuhan sukarela, parti politik, anggota pasukan keselamatan dan orang bramai.

Menurutnya, program itu adalah lanjutan kepada perarakan patriotik menggunakan kenderaan yang diadakan di DUN Jertih dan Kota Putera, minggu lalu.

Pada perarakan menggunakan kenderaan itu lebih 1,000 peserta berarak dengan menggunakan pelbagai kenderaan sambil mengibarkan jalur gemilang dan mengelilingi beberapa kampung di DUN terbabit.