Halaman

04 August 2013

Yang Di-Pertuan Muda mengurniakan sumbangan raya kepada anak yatim

Oleh; Esah Abdullah dan Nurul Suraya Sukur (pelatih)




Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Sumbangan Hari Raya kepada Anak-anak Yatim dan Anak-anak Fakir Miskin di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Terengganu pagi ini.

Berkenan berangkat kekanda dan adinda Tengku Muhammad Ismail iaitu Tengku Nadhirah Zahrah; Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahra’ .

Hadir sama, Tengku Sri Temenggong Raja, Dato’ Sri Baharuddin Sultan Mahmud; Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Haji Mohd Zubir Embong dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Mahdi Musa.



Seramai 250 pelajar terdiri daripada anak-anak yatim dan pelajar anak fakir miskin berusia enam tahun (pra sekolah) hingga 17 tahun daripada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Terengganu (Perkaya), Marang, Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi, Seberang Takir dan Asrama Anak-anak Yatim Darul Falah, Marang menerima sumbangan pakaian hari raya.

Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mua’az berkenan mengurniakan sumbangan kepada pelajar lelaki manakala Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Fatimatuz Zahra’ mengurniakan sumbangan kepada pelajar perempuan.

Pelajar lelaki menerima sepasang baju Melayu, sampin beserta songkok dan baju T manakala pelajar perempuan dua pasang baju kurung dan tudung serta wang tunai RM200 setiap seorang dan kurma.

Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan mengiringi dua putera dan dua puteri Diraja itu sepanjang majlis pengurniaan berlangsung.