Halaman

06 June 2011

Syarikat Vietnam minat majukan Pulau Bidong

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato’ Rahin Mohd Said.

Sebuah syarikat dari Vietnam berminat untuk memajukan Pulau Bidong sebagai kawasan pelancongan, terutama bagi mereka yang meminati kesan-kesan peninggalan sejarah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato’ Rahin Mohd Said, berkata kerajaan negeri sedia menimbang permohonan syarikat tersebut sebagai salah satu usaha ‘mengembalikan’ kegemilangan Pulau Bidong.



“Sebelum ini Pulau Bidong terkenal di seluruh dunia sebagai kawasan penempatan pelarian dari negara Vietnam,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Pulau Bidong mula menjadi penempatan ‘Orang Hanyut’ yang merupakan pelarian dari negara Vietnam akibat kezaliman pemerintahan negera tersebut.

Sejak 1978 hingga 1991 lebih daripada 250,000 orang, termasuk kanak-kanak ditempatkan di pulau tersebut sementara menunggu negara ketiga mengambil mereka bagi memberi perlindungan tempat tinggal.

Sebelum ini, kerajaan negeri memutuskan untuk memajukan pulau tersebut sebagai salah satu destinasi pelancongan tetapi pada masa yang sama, ia mahu mengekalkan keadaan semula jadi sekitar kawasan tersebut.

Pada masa ini terdapat banyak bangunan berunsur sejarah peninggalan masyarakat Vietnam, termasuk bangunan tempat tinggal, sekolah dan pelbagai tugu yang dibina mereka.

Dato’ Rahin berkata, pihaknya akan mengkaji cadangan syarikat tersebut dengan mengambil kira pelbagai aspek sebelum sebarang keuputusan dibuat.