Halaman

15 August 2011

PESAKIT DI HOSPITAL BESUT TERHARU DIKUNJUNGI PEMIMPIN

Oleh: Mohammad Ishak



Datuk Seri Ahmad bersama pemimpin kerajaan lain beramah mesra dengan pesakit

Pesakit yang sedang dirawat di Hospital Besut (HB), tidak menyangka penderitaan mereka ketika berada di wad turut dikongsi bersama oleh pemimpin dan isteri masing-masing yang datang menziarah sempena Ramadan tahun ini.

Kunjungan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bersama isteri melawat pesakit sedikit sebanyak dapat mengubati derita mereka akibat terlantar di hospital berkenaan.

Turut hadir mengiringi Menteri Besar ialah, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, ADUN Hulu Besut, Nawi Mohamad, ADUN Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof, ADUN Jabi, Ramlan Ali, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh, Ketua Polis Daerah, Superentendan Kamaruddin Mohd Zakaria dan Ketua Penerangan Puteri Umno Malaysia Datuk Nordiana Shafiee.

Program anjuran Puteri Umno Terengganu dengan kerjasama Puteri Umno Bahagian Besut itu, memberi peluang Menteri Besar dan isteri serta pemimpin kerajaan lain beramah mesra dengan semua 102 pesakit yang sedang dirawat di hospital itu.


Ahmad bertanyakan sesuatu kepada seorang warga negara asing yang di rawat di Hospital Besut

Sempena lawatan itu Ahmad dan isteri turut menyampaikan sumbangan berupa barangan dan air zam zam kepada pesakit.

Beliau turut menasihatkan pesakit supaya bersabar menerima dugaan Allah sempena Ramadan yang menyebabkan mereka tidak dapat bersama keluarga kerana terpaksa tinggal di hospital.