Halaman

29 September 2013

Komited Jayakan Projek Agropolitan - Sultan Mizan

Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mendengar  taklimat daripada Dato' Issace mengenai pelan lokasi Projek Agropolitan Besut-Setiu.
Teks oleh Aminudin Ismail
Gambar oleh Zulkipli Putra

SETIU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah mengharapkan semua peserta Projek Agropolitan Besut-Setiu terus komited untuk menjayakan projek itu supaya dapat menyumbang ke arah pembangunan negeri Terengganu.

Seorang peserta Projek Agropolitan menerima kunci rumah daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
“Beta berharap agar para peserta projek Agropolitan Besut-Setiu akan terus komited dan bekerja keras dalam menjayakan projek ini sekaligus menyumbang ke arah pembangunan negeri Terengganu Darul Iman yang tercinta,” titah baginda.

Ladang Projek Agropolitan.
Bertitah ketika merasmikan projek itu di Panchor Bederu, di sini, hari ini, Sultan Mizan Zainal Abidin juga berasa sukacita melihat semangat dan kesungguhan yang tinggi yang ditunjukan oleh peserta-peserta Agropolitan Besut-Setiu yang nyata membawa perubahan kepada diri sendiri dan keluarga masing-masing melalui projek itu.

Titah baginda, pelaksanaan projek itu adalah satu usaha murni yang dilakukan Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC (Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur) dengan kerjasama kerajaan negeri dalam usaha mengurangkan kemiskinan dalam wilayah ekonomi Pantai Timur khusus di negeri Terengganu.

“Beta ingin mengucapkan tahniah kepada pihak ECERDC di atas sambutan ulang tahun yang ke lima pada tahun ini. Pihak ECERDC sememangnya telah melaksanakan banyak projek di negeri Terengganu Darul Iman, sebahagian dari usahanya untuk menjadikan ECER (Wilayah Ekonomi Pantai Timur) sebuah wilayah maju menjelang 2020.

“Langkah pihak ECERDC memperkenalkan projek Agropolitan ini di negeri Terengganu Darul Iman wajar dipuji kerana ia bermatlamat untuk meningkatkan taraf hidup para peserta dengan cara memberi mereka pekerjaan bidang berkaitan pertanian,”titah baginda.

Sultan Mizan bertitah, projek Agropolitan itu mampu mengubah transfomasi dalam sektor pertanian di negeri Terengganu Darul Iman khususnya dan Malaysia amnnya. Dan titah baginda, pada masa yang sama memaju transfomasi dalam kehidupan rakyat di negeri ini.

“Beta berharap agar rakyat negeri Terengganu Darul Iman akan terus berusaha memajukan diri dalam merebut pelbagai peluang yang diwujudkan oleh pihak kerajaan.

“Ini kerana pembabitan rakyat dalam proses pembangunan yang sedang pesat dilaksanakan kerajaan negeri bukan sahaja mempertingkatkan taraf dan kualiti hidup mereka tetapi juga memastikan rakyat negeri ini tidak ketinggalan dalam menikmati kemakmuran,” titah baginda.

Hadir sama pada majlis yang dihadiri lebih 1,000 tetamu itu ialah Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Pengurus Besar Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John serta beberapa kenamaan negeri
.

No comments: