Halaman

08 October 2011

Menteri Terengganu lawat pelajar di Moscow



Sebahagian besar daripada pelajar Malaysia di Moscow yang fasih berbahasa Rusia dilihat suatu kelebihan bagi kerajaan untuk menerokai hubungan diplomatik dengan negara bekas Kesatuan Soviet, termasuk Azerbaijan dan Turkmenistan.

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, memandangkan pelajar dari Malaysia di Moscow sudah fasih berbahasa Rusia, ia akan memudahkan lagi urusan dengan kerajaan dan rakyat di negara-negara terbabit.

"Sebagai modal insan pilihan, mereka (pelajar Malaysia) bukan sahaja diperlukan untuk menjadi doktor semata-mata tetapi lebih daripada itu," katanya ketika bertemu dengan ahli-ahli jawatankuasa Kelab UMNO Luar Negara Moscow (Kumosc), baru-baru ini.




Dato’ Ahmad Shabery yang juga Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara memberitahu, tidak ramai pelajar dari negara Asia Tenggara lain dihantar menuntut ilmu di Rusia dan ia peluang yang boleh direbut oleh Malaysia dalam meneroka bidang-bidang baharu yang dapat memberi manfaat kepada negara.

Turut hadir pada pertemuan yang sama ialah Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara, Wasitah Mohd. Yusof dan Pengerusi Kumosc, Muhamad Akmal Saleh.

Pertemuan itu dihadiri oleh 20 ahli jawatankuasa Kumosc yang datang dari Russian State University, First Moscow State Medical University dan Nizhny Novgorod Medical State Academy.



Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli Kelab UMNO Luar Negara untuk mengingatkan sesama mereka tentang kesungguhan pemimpin UMNO, terutamanya bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengemukakan idea penghantaran pelajar perubatan dari Malaysia ke Rusia pada sembilan tahun lalu.

Bagi membantu pelbagai aktiviti bagi membolehkan pelajar Malaysia di sekitar Rusia bergerak aktif, Ahmad Shabery berkata, beberapa aktiviti akan dianjurkan pihaknya melalui Sekretariat Rakan Muda, Kementerian Belia dan Sukan dalam masa terdekat.

No comments: