Halaman

05 October 2011

Politeknik Hulu Terengganu tetap diteruskan

Oleh FAUZI MOHD

Projek pembinaan kampus Politeknik Hulu Terengganu (PHT) yang tergendala sejak lebih tiga tahun lalu tetap diteruskan pembinaannya di daerah itu.

Ketika ditanya pemberita, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, projek berharga RM184 juta itu tertangguh pembinaan berikutan masalah teknikal dan tapak asal yang tidak sesuai.

Menurut beliau, pihaknya telah bangkitkan masalah berkenaan dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin yang berkunjung ke Terengganu baru-baru ini.

“Walaupun mengalami kelewatan, politeknik itu tetap akan dibina. Tidak dipindahkan ke daerah lain, tetap dibina di Hulu Terengganu.

“Kita tidak dapat memaklumkan bila ia akan mula dibina kerana usaha untuk menyelesaikan masalah itu sedang berjalan antara kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya selepas Majlis Konvokesyen Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun baru-baru ini.

PHT yang menyewa bangunan milik Majlis Daerah Hulu Terengganu di Kuala Berang kini mempunyai kira-kira 200 pelajar dengan menawarkan dua program pengajian iaitu Diploma Perakaunan dan Diploma Pengurusan Pelancongan.

Tambah Ahmad Razif, pihaknya turut mengambil kira cadangan beberapa pihak untuk membina kampus itu di kawasan padang ragut Tersat di Kampung Tanjung Putat atau berhampiran Padang Astaka Kuala Berang.

“Pembinaan kampus berkenaan cukup penting bagi memastikan penduduk di kawasan itu menerima pendidikan dengan lebih baik, selaras dengan perancangan asalnya,” ujarnya.