Halaman

03 December 2013

MBKT jawab isu pasar raya Sabasun

 Oleh: Suriati Ali 

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) tidak pernah `menganaktirikan’ pemilik syarikat Bumiputera Sabasun Hyper Runcit Sdn Bhd (Sabasun) seperti yang hangat diperkatakan masa kini, sebaliknya banyak memberi ruang untuk permohonan lesen mengikut akta ditetapkan.

Datuk Bandar MBKT Dato’ Adzlan Mohd Dagang, berkata MBKT memberi tempoh panjang untuk menyelesaikan pelbagai perkara dan tidak akan timbul isu gantung lesen sekiranya pemilik Sabasun memenuhi syarat pemohonan lesen perniagaan.

 Katanya, pemilik pasar raya mini itu telah sedia maklum tentang prosuder pembinaan sebarang struktur di atas tanah kerajaan di mana perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan yang berkaitan.



"Pasar raya Sabasun yang terletak di Bukit Kecil ini telah lama beroperasi di mana ketika itu kita memberi kelulusan untuk sebuah kedai runcit dengan keluasan 900 meter persegi sahaja.

 “Oleh kerana perniagaan kedai runcit itu semakin maju, pemilik Sabasun bukan sahaja telah menukar nama kepada pasar raya besar yang sepatutnya perlu mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) malah menambah binaan pada keluasan lebih 2,000 meter persegi,” katanya .



 Menurut Dato’ Adzlan, MBKT banyak bertolak ansur selama ini dengan pihak Sabasun walaupun mereka banyak melakukan kesalahan seperti menambah binaan bangunan tanpa kelulusan dan permohonan pelan kepada MBKT.

 "Sabasun adalah tempat tumpuan ramai.. jika tiada kelulusan bangunan bermakna tiada kelulusan bomba dan agensi-agensi lain dan jika berlaku kemalangan seperti kebakaran dan runtuhan, MBKT juga boleh disaman," katanya..

 Katanya MBKT tidak mahu menjual sebidang tanah bersebelahan premisnya untuk dijadikan kawasan parkir, sebaliknya dikenakan sewa RM4,000 sebulana

“MBKT tidak boleh sewenang-wenangnya menjual aset mereka, terutama lokasi strategic dalam bandar.

 “Mengikut perjanjian, MBKT memberi sewa kepada Sabasun sekitar tahun 1996, sebidang tanah untuk tapak parkir, namun dikatakan Sabasun melanggar perjanjian dengan membina struktur bangunan di situ,” katanya.