Halaman

28 September 2012

BN optimis rampas Marang

 Oleh: Aida Abd Rahman 

BARISAN Nasional (BN) optimis untuk merampas kembali kerusi Parlimen Marang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang serta Bukit Payong pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Keyakinan itu dilontarkan `Giant Killer’ yang juga bekas Ahli Parlimen Marang, Senator Dato’ Abdul Rahman Bakar berdasarkan lima indikator utama iaitu pertama, BN kian diterima rakyat selepas pelbagai transformasi kepimpinan di bawah Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengutamakan kebajikan menyebabkan rakyat merasa tidak terpinggir.

 Pada masa yang sama, peranan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang mengetuai kepimpinan BN dan Umno peringkat negeri pula sentiasa turun padang dan bersama rakyat tanpa mengira waktu dan tempat.

“Asas dan pendekatan itu turut meruntun jiwa rakyat tanpa mengira latar belakang, malah mereka di atas pagar juga mula menyebelahi kepimpinan beliau, sekali gus akan bersama-sama menyokong kerajaan.

“Indikator kedua yang menyokong kenyataan saya adalah mengenai masalah dalaman di Terengganu yang amat kurang sejak kebelakangan ini. Jika dulu orang mengatakan di Terengganu wujud dua puak yang berpecah dalam Umno, bagaimanapun sekarang tiada lagi apabila mereka saling bercampur dan boleh berada di bawah satu bumbung, satu payung. Sekarang permusuhan itu sudah menemui jalan perdamaian demi bagi melihat Umno terus perkasa serta dihormati semua pihak,” katanya ketika ditemui Teganukita, di pejabat beliau,di Gelugor Kedai, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

 Faktor ketiga, rakyat turut mengenang budi kerajaan yang tidak jemu-jemu melaksanakan pembangunan di mana setiap pelusuk tempat boleh dinikmati pelbagai golongan selaras dengan slogan Kemerdekaan Negara ke-55, `Janji Ditepati’.

 “Pelbagai pembangunan berlaku di Marang. Contohnya kemudahan infrastruktur seperti sekolah, jalan raya, balai raya, masjid, surau baru, bangunan baru termasuk kem askar dan juga Institut Latihan Perindustrian.

Daripada segi fizikal, pembangunannya memang `tip-top’ di Parlimen Marang yang turut menaikkan lagi industri desa dan menjana ekonomi penduduk kampung,” katanya.

 Faktor keempat, dari segi bantuan dan kebajikan BN kepada rakyat juga diagihkan tanpa mengira waktu malah, terdapat dana yang diberikan kepada rakyat yang kurang berkemampuan tanpa dijangka. “Seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, dana hari raya, dana bakti remaja.

Malah, bantuan kepada budak sekolah dan kemudahan untuk rakyat seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik Rakyat 1Malaysia (KR1M), tuisyen percuma, e-book dan macam-macam.

“Jadi bantuan itu melekat di hati rakyat. Dalam kerendahan jiwa, rakyat bersyukur walaupun ada di kalangan mereka tidak meluahkannya dan memendam sahaja, hakikatnya mereka berterima kasih dengan jasa kerajaan.

 “Rakyat bersyukur kerana kerajaan cakna, mengambil berat selain meringankan beban mereka. Demikian perubahan ketara yang dilaksanakan kerajaan pimpinan BN dan Umno di peringkat negeri serta Pusat. Dulu tidak ada BR1M, tidak ada KR1M, tidak ada bantuan baiki rumah, tidak ada Rumah Mesra Rakyat, rumah orang-orang tua.

 Sekarang bertambah banyak dari pelbagai sudut, kategori mahu pun golongan mendapat bantuan. Tiada golongan yang terpinggir. Hatta, kanak-kanak, budak sekolah, remaja, penganggur, isi rumah, ketua isi rumah, orang-orang tua, mahu pun orang sakit dan mereka yang ditimpa musibah seperti kemalangan, kebakaran dan banjir,” katanya.

 Beliau berkata, satu perubahan besar dilakukan oleh BN di peringkat negeri serta Pusat sudah pun meresap di jiwa rakyat di mana kesemua mereka tanpa batasan umur, terutama golongan muda, orang atas pagar mahu pun pembangkang menerima dan memanfaatkan kesemua bantuan itu.

 Faktor kelima adalah isu yang meruncing di kalangan pembangkang di mana mereka kelihatan setangkai tetapi tidak sebau. Sebagaimana umum mengetahui, Pas hendak menubuhkan negara Islam, DAP tidak bersetuju dan tidak menyokong usaha tersebut.

 “Pas kata nak berhudud tapi DAP kata jangan. Seolah-olah Pas tunduk kepada DAP. Jadi, orang tidak yakin dengan Pas sekarang, disebabkan Pas tunduk kepada DAP.

 “Dulu negara Islam. Sekarang negara kebajikan. Dulu nak berhudud, sekarang tidak ada hudud sebab tunduk kepada DAP, Lim Kit Siang, Karpal Singh dan sebagainya.Di situ timbul konflik dan masalah di kalangan puak pakatan pembangkang ini,” katanya.

 Tambah beliau lagi, isu kedua yang sedang meruncing adalah PKR dengan Pas pun hakikatnya `tidak sebulu’. Contoh, PKR begitu liberal mengenai dasar agama. PKR liberal dan juga pluralisme yang mana prinsip itu bercanggah dengan pegangan Pas. Malah, PKR juga menyokong dan menyertai pemimpin yang melaungkan `LGBT’.

Pada masa yang sama, Pas terpaksa tunduk demi menjaga hati, hubungan dan juga perasaan `adiknya’ ini. Bagaimanapun, mereka yang tunduk terhadap desakan adalah di kalangan pemimpin atasan sahaja termasuk Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang; Mursyidul Am, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Naib Presidennya, Mahfuz Omar.

Dari situ menyerlahkan lagi realiti tindakan puak pemimpin Pas yang kian menghancurkan dasar perjuangan mereka sehingga sanggup menggadaikan prinsip dan menjual maruah dan kesucian agama.

 “Oleh yang demikian, orang muda serta orang atas pagar sudah hilang kepercayaan terhadap perjuangan Pas disebabkan mereka menjadi pak sanggup dalam pakatan rakyat ini.

“Tindakan Pas itu membuktikan bahawa parti itu tidak lagi dominan dan bukan tunjang kepada pakatan pembangkang ini. Pas kata nak ganti Umno. Umno tulang belakang kepada BN. Itu tidak sama kerana Pas bukan tulang belakang kepada PKR. PAS hanya pengikut. Jadi, orang mula meluat, timbul kebencian dan tiada keyakinan lagi dengan barisan kepimpinan Pas,” katanya.

Menurut Dato’ Abdul Rahman, dalam pilihan raya nanti pun kerusi yang akan dipertandingkan oleh Pas lebih kecil, berbanding DAP dan juga PKR.

 “Pas akan bertanding pun lebih-lebih 65 kerusi sahaja daripada 222 kerusi Parlimen. Jadi, orang tak yakin sedangkan lebihan itu dibahagikan antara DAP dengan PKR. Bagi orang orang muda pula, katanya, mereka tidak yakin dengan perjuangan Pas kerana mereka daripada golongan terpelajar dan pastinya tidak akan menggadai maruah.

 “Mereka tidak akan menjual maruah, dasar Islam, ketuanan Melayu kepada pembangkang. Ini semua terjadi disebabkan oleh lemahnya Pas, akibat kuatnya pengaruh DAP dan PKR,” katanya. Isu ketiga adalah pemimpin PKR jadi Perdana Menteri jika pembangkang menang dan ternyata pemimpin bukan bukan di kalangan orang Pas kerana `kuasa’ PKR mahu meletakkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, seandainya mereka berjaya menawan PRU13.

Bagaimana kriteria bakala PM yang berdepan dan dilabelkan dengan pelbagai moral negatif mengenai skandal seks, rasuah dan sebagainya itu harus diterima.

“Jadi, bersandarkan moral yang teruk bagaimana hendak menjadi pemimpin, lebih-lebih lagi Perdana Menteri sekali gus menyatakan hasrat untuk menawan Putrajaya. Itu momokan saja. Bukan realiti kerana semua sedar dan maklum kemampuan dia dari segi pembahagian kerusi dan masa akan datang. Jadi, kenyataan itu sekadar angan-angan mereka,” katanya.