Halaman

01 October 2013

Pendidikan berkualiti lahir modal insan berkemahiran tinggi

Oleh; Esah Abdullah 

Kerajaan memberikan tumpuan utama kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan secara menyeluruh kerana menyedari bahawa pendidikan yang berkualiti untuk rakyat adalah satu- satunya wadah bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif dan berdaya saing.

YB Ghazali sampai hadiah kepada pemenang pertandingan GSP di TH Hotel
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri YB Ghazali Taib berkata, modal insan inilah yang akan memacu kemajuan negara ke tahap yang lebih tinggi.

”Di bahu merekalah letaknya harapan kita untuk melihat kemajuan dan pembangunan negara dijana dengan lebih pesat dan mapan, demi kesejahteraan dan kemakmuran masa depan kita bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian di majlis penyampaian hadiah sempena Pertandingan Membangunkan Bahan Pembelajaran Kendiri Matematik Menggunakan Aplikasi Geometer’s Sketchpad (GSP) Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Terengganu 2013 anjuran bersama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Exxonmobil Malaysia di Hotel Tabung Haji,Gong Badak Kuala Terengganu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan Encik Hashim Mohd Zin; Pengurus Hal Ehwal Awam dan Perhubungan, Subsidiari-subsidiari Exxonmobil di Malaysia, Cik Nor Hawa Mohd Yunus dan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pendidikan Haji Mat Sor Ismail.

Katanya, usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara telah bermula sejak empat tahun lalu dengan melaksanakan empat inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan, yang bertujuan untuk memperluas akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.

”Alhamdulillah, berkat kegigihan para guru di segenap pelusuk negeri dan sokongan padu seluruh warga pendidikan, kita telah menempa kejayaan yang membanggakan dengan kadar penyertaan murid pra-sekolah berjaya ditingkatkan, sasaran penguasaan literasi dan numerasi murid mampu kita capai, bilangan sekolah berprestasi tinggi bertambah dan bai'ah dengan pengetua dan guru besar terlaksana,” katanya.

Menurutnya, GSP yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada 2002 merupakan satu perisisan dinamik berbantukan komputer yang dapat membantu pelajar menerokai pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dengan lebih menarik.

 ”Sekali gus menjadi penanda aras melahirkan generasi berilmu pengetahuan tinggi, mempunyai sahsiah diri sejajar dengan tuntutan Islam sebagai aset negeri dan negara. Berdasarkan fakta sejarah dan kecemerlangan pendidikan semasa, wajarlah negeri Terengganu dikenali sebagai negeri anjung ilmu,” katanya.



No comments: