Halaman

20 February 2013

MB lawat mangsa kebakaran di Marang

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, meluangkan masa melawat mangsa kebakaran di Kampung Titian Baru, Marang tengahari ini.



Kesedihan mangsa kebakaran, Yahya Harun, 61, dan keluarganya sedikit terubat apabila dalam kunjungan tersebut, Dato’ Seri Haji Ahmad berjanji akan menyediakan bantuan pembinaan rumah baru dengan peruntukan sebanyak RM40,000.

"Saya nasihatkan mangsa supaya segera menghantar borang permohonan kepada Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Payong, Zaidi Muda bagi membolehkan pembinaan berjalan secepat mungkin.

"Rumah jirannya pula, Zamari Taib yang mengalami kerosakan di bahagian dinding ruang tamu juga akan diganti dengan dinding yang baru," katanya kepada pemberita selepas melawat rumah mangsa kebakaran itu.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang Isnin lalu, keseluruhan rumah Yahya musnah dijilat api dengan anggaran kerugian RM200,000 mengakibatkan Yahya bersama isteri dan anaknya tinggal sehelai sepinggang.

Lebih menyedihkan apabila persiapan perkahwinan anaknya Syawal Firdaus, 26 iaitu 21 barang dulang hantaran kahwin termasuk set bilik tidur pengantin hangus terbakar.



Bagaimanapun, Yahya dan isterinya Fazilat Mamat, 49, tetap akan meneruskan kenduri kahwin di rumah pengantin perempuan yang dijadualkan pada 21 Mac depan di Kelantan.

Fazilah berkata mereka ingin mengadakan kenduri sambut menantu pada Jun ini dan berharap rumah baru itu sempat disiapkan sebelum majlis perkahwinan berlangsung.

"Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Menteri Besar yang sudi datang bertanyakan khabar walaupun dalam kesibukan jadual hariannya," katanya sebak.